BENGKEL KENALI ANAK KITA ZON SELATAN-MELAKA

MELAKA

Bengkel Kenali Anak Kita peringkat Zon Selatan telah diadakan selama tiga hari bermula pada 4 Ogos lepas. Bengkel ini diadakan di Hotel Naza Talyya, Melaka.

Majlis Perasmian penutup bengkel ini telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tangga Batu merangkap Penasihat Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH), Dato’ Idris Harun.

Seramai 45 peserta telah hadir dalam bengkel ini yang terdiri daripada ahli-ahli PIBG serta guru kaunseling beberapa buah sekolah di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Bengkel tiga hari ini bertujuan untuk memperkasakan para peserta dengan maklumat dan kemahiran agar dapat menjadi agen perubahan dalam keluarga sendiri dan masyarakat setempat.
Bengkel ini dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) serta Jabatan Pelajaran Negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

RAKAN SEBAYA DAN KELUARGA FAKTOR UTAMA REMAJA TERLIBAT DADAH

IMG_0047

SEREMBAN 2 : Faktor rakan sebaya dan faktor keluarga adalah dua sebab utama remaja terlibat dalam kancah penagihan dadah, kata Yang Di Pertua Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Mohd Yunus Pathi.

“Bagi anak-anak yang mula-mula berjinak dengan dadah, saya melihat peranan rakan sebaya lebih berpengaruh untuk mendorong mereka kearah penagihan yang lebih serius,” katanya semasa menyampaikan ceramahnya di Seminar Kenali Anak Kita di Dewan Pusat Keluarga Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) di sini, baru-baru ini.

Mohd Yunus berkata, penagihan juga tercetus adalah hasil daripada suasana ibu bapa dan keluarga yang bertoksik, kerana ibu bapa bertoksik mencederakan kendiri anak-anak melalui perlakuan, perbuatan serta perkataan mereka.

“Keluarga bertoksik ini menggambarkan perlakuan negative ahli keluarga dengan meninggalkan kesan yang mendalam serta mencederakan pertumbuhan psikologi ahli keluarga yang lain,” katanya lagi.

Menurutnya, gaya keibubapaan yang negatif yang diamalkan oleh ibu bapa bertoksid ini akan diturunkan kepada anak mereka. Mereka melakukan penderaan dari sudut fizikal, seksual, selain ibu bapa yang mengabaikan keperluan emosi anak-anak.

Beliau berkata, selalunya, anak-anak mencuba dadah sebagai cara mengendalikan gangguan emosi dan kebanyakkan mereka bermula dengan tabiat merokok.

“Majoriti mereka mula bereksperimentasi dengan dadah di usia antara 14 hingga 16 tahun, malah ada yang lebih awal.

Ibu bapa selalunya orang yang terakhir mengetahui anak mereka terlibat dengan dadah. Mereka selalunya akan bercerita kepada rakan mereka berbanding keluarga,” katanya.

Justeru itu, menurut Mohd Yunus lagi, ibu bapa perlu peka dalam meningkatkan pendidikan dan kesedaran umum terhadap pencegahan lebih awal dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah di kalangan remaja dan anak-anak.

Katanya, ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan maklumat tentang dadah, profil penagihan dan akibat dari gejala tersebut untuk membekalkan kesedaran dan bimbingan kepada anak-anak remaja masakini tentang bahaya dadah.

Selain Mohd Yunus, antara yang turut menyampaikan cemarah dalam seminar ini ialah Dr Suriati Abdul Aziz dari Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan.

Seminar sehari ini dirasmikan oleh Pengarah LPPKN Negeri Sembilan, Suariani Buang.

Hampir 400 peserta terdiri daripada ibu bapa pelbagai kaum, pemimpin masyarakat dan kakitangan kerajaan hadir dalam seminar kali ini.

Seminar ini dianjurkan oleh Pengasih dengan sokongan minyak dan gas Negara, PETRONAS dengan kerjasama LPPKN, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu bapa dan Guru Nasional.

Kempen ini menjadikan ibu bapa sebagai kumpulan sasar dalam usaha memperkasakan mereka sebagai agen perubahan di dalam institusi kekeluargaan.

PETRONAS memberi komitmen sebagai penaja kempen ini bagi tempoh dua tahun bermula 2009.

Bualbicara Zon Selatan-Tangkak, Johor.

IMG_2491

MUAR : Hampir 1,000 orang hadir bagi memeriahkan Program Bualbicara Kenali Anak Kita peringkat Zon Selatan yang berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak dekat sini pada 10 Julai 2010 yang lalu.

Peserta yang hadir terdiri daripada Ibubapa, Ahli PIBG dari Negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Turut serta memeriahkan program itu ialah masyarakat setempat. Mereka turut dihiburkan oleh persembahan rakan artis Kempen Kenali Anak Kita, Raja Pop Jamal Abdillah.

Perasmian penutup program itu disempurnakan oleh Exco Penerangan Negeri Johor, Y.B. Tuan Haji Mohd Jais bin Sarday, yang mewakili Menteri Besar Johor. Turut hadir dalam majlis perasmian itu ialah Ahli Parlimen Labis, Ir. Haji Hamim Sanusi, Yang DiPertua PENGASIH, Haji Mohd Yunus Pathi, Pegawai Daerah Ledang, Amran Abdul Rahman dan wakil dari PETRONAS yang berpejabat di Melaka.

Ahli-ahli panel Bualbicara Kenali Anak Kita ialah Mohd Yunus sendiri, Ustazah Siti Arfah Mohd Yusuf dari Pejabat Agama Muar, Dr. Khamsiah Ismail dari Ibupejabat LPPKN dan Haji Salahuddin Rasul sebagai Moderator.

Program Kenali Anak Kita ini adalah siri yang kelapan selepas program di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah.